Islamic, Financial, Technology

test

Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Friday, March 30, 2018

Tips Menjadi Pembentang Terbaik

1. Rakam perbentangan anda

Saya pernah melibatkan diri dalam satu forum di sebuah universiti, sebelum bermula, saya meminta seorang rakan untuk merakam ketika saya sedang berforum. Bila menonton kembali rakaman tersebut. Saya rasa meluat untuk melihat diri sendiri sehingga tidak sanggup untuk meneruskannya. Saya dapati, apabila kita melihat diri sendiri dalam situasi sebenar, kita akan dapati banyak kelemahan yang boleh diperbaiki. Sebab kadangkala kita perasan yang kita sudah buat sehabis baik tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Hal ini tidak sama dengan meminta ulasan daripada rakan anda, kerana mungkin rakan anda takut-takut untuk menceritakan hal yang sebenar. Ramai orang suka untuk memuji sahaja dan mengelakkan diri dari mengkritik rakan sendiri. Tetapi apabila kita rakam sendiri ianya lebih berkesan dan kita boleh mengulang-ulang rakaman tersebut. Jika tidak ada orang yang sudi untuk merakam anda, atau anda malu-malu. Boleh rakam diri sendiri. Saya juga sering memasukkan telefon ke dalam poket asalkan dapat mendengar kembali suara saya selepas perbentangan.

2. Kurangkan “aaa” atau “errr”

Hilang arah dan fokus selalu terjadi sewaktu perbentangan. Maka sebahagian orang suka mengeluarkan bunyi “aaa” atau “errr” atau yang sewaktu dengannya. Situasi ini sering tidak disedari oleh pembentang. Ini tidak lain bertujuan untuk mencari idea dan kesinambungan ayat untuk bercakap. Sebenarnya, untuk mengatasi masalah ini, kita harus biasakan diri dengan menggunakan ayat seperti;

“Untuk tidak membuang masa, saya akan teruskan dengan”
“Yang belakang itu boleh dengar ke? Jelas?”
“Hadirin yang saya hormati lagi dikasihi Allah sekalian” “Apabila kita berbicara tentang tajuk ini, kita harus menjadikan…” “Tiba-tiba tekak rasa haus, minta maaf izinkan saya minum dahulu”

Lima ayat di atas membuatkan audiens nampak seperti pembentang sedang yakin untuk meneruskan idea. Tetapi buat pembentang, ayat tersebut boleh digunakan untuk mengembalikan fokus dan mencari titik temu yang hilang ketika perbentangan. Kerana otak kita perlukan kekuatan untuk mengupas sesuatu isi dan kadangkala ianya perlu direhatkan dengan menggunakan ayat di atas. Maka, kurangkan bunyi-bunyi yang tidak sepatutnya, Ini menjadikan perbentangan anda tidak kelihatan seperti tergopoh-gapah.

3. “Eye contact”

Bagi yang tidak biasa dengan situasi perbentangan, pandangan mata merupakan satu cabaran besar buat mereka. Apatah lagi jika ada rakan sedang mengusik di belakang. Seorang pembentang yang hebat ialah apabila berjaya bertentang mata dengan mata antara audiens. Tetapi buat pemula, anda boleh menghalakan mata anda setentang dengan dinding di hadapan anda. Kerana audiens akan merasakan anda sedang memberi perhatian kepada mereka.

Elakkan memandang mata ke atas seperti Undertaker ketika membentang kerana audiens akan menganggap anda sedang berfikir dan tidak bersedia. Apatah lagi melihat ke lantai, itu menunjukkan anda tidak yakin lalu audiens akan mudah bosan dan hilang keyakinan terhadap anda. Ada juga saya lihat sebahagian penceramah memejamkan mata mereka ketika bercakap, pada saya ini sesuatu yang kurang baik daripada sudut interaksi dengan audiens.

4. Berhenti menggunakan ayat “seperti mana yang kita semua tahu”

Pengalaman saya mendapati ramai siswa-siswi di universiti menggunakan ayat ini. Pensyarah saya beberapa kali menegur pelajar yang kerap kali menggunakan ayat ini. Ianya Mungkin bertujuan untuk menyambung ayat. Tetapi ayat ini tidak sesuai untuk semua orang. Tak mungkin semua audiens anda tahu apa yang anda akan cakapkan. Teruskan saja apa yang anda ingin sampaikan. Gunakan ayat seperti “terlebih dahulu, suka saya memaklumkan kepada anda semua tentang..”

5. Jangan membaca kerana audiens anda tahu membaca

Membaca slide atau nota adalah satu penyakit kronik yang melanda ramai pembentang. Sampai satu tahap mereka hanya membaca membuta tuli sahaja, sekadar memberikan salam lalu membaca terus. Lebih malang jika ayat di dalam slide atau nota itu hanyalah plagiat dari internet. Langsung tidak dihayati, apatah lagi untuk diadun menjadi satu perbentangan yang bersifat realistik.

Mulakan langkah anda dengan membuat sedikit ringkasan lalu membuat ulasan sedikit demi sedikit. Jika anda terus menerus membaca, sampai bila-bila kualiti perbentangan anda tidak meningkat. Ingat, tugas pembentang adalah mengulas bukannya membaca.

6. Menguasai konten

Sebahagian orang mempunyai gaya penyampaian yang menarik. Sama ada dari segi suara dan gerak tubuh yang boleh membuatkan audiens bersedia mendengar penyampaiannya. Namun, kontennya tidak kena, melalut, keluar tajuk, dan salah fakta. Ini juga harus diberikan perhatian, lebih-lebih lagi jika perbentangan tersebut mempunyai kriteria pemarkahan. Sudah tentu isi penyampaian yang bertepatan dengan kehendak tajuk diambil kira.

Maka luaskan pembacaan dalam skop anda dan ambil tahu perkembangan semasa berkaitan dengan bidang anda. Catatkan sedikit nota untuk memperkukuhkan ingatan anda. Jangan malas mengulang-ulang pembacaan agar sebati dalam ingatan anda. Kerana boleh jadi anda ingat semasa membaca, tetapi apabila sedang membentang anda berpotensi untuk hilang fokus lalu ingatan anda pun turut sama hilang.

7. Anggap audiens sama seperti anda

Kadangkala anda berhadapan dengan audiens yang mempunyai latar belakang akademik atau pangkat yang lebih baik daripada anda. Ini membuatkan anda bertambah gugup dan gementar. Untuk mengatasi hal ini, saya selalu bermonolog kepada diri saya;

“Mereka juga manusia seperti kita” “Aku akan sampaikan sesuatu yang baru kepada mereka!”

Ini bukanlah untuk merendahkan para audiens anda. Tetapi lebih kepada memotivasikan diri sendiri. Jika kita asyik fikirkan anda lebih rendah daripada audiens, ini akan melemahkan potensi dan anda tidak berkeyakinan untuk bercakap. Elakkan perasaan seperti;

“Apalah yang mereka kata bila tengok aku di depan”

Yakin kepada kemampuan diri anda, percayalah monolog seperti ini langsung tidak membantu untuk anda membina keyakinan.

8. Jangan buat lawak bodoh

Apabila sampai satu tahap keyakinan, ada orang suka membuat jenaka dalam perbentangan, atau dinamakan sebagai unsur kecindan. Jenaka dalam perbentangan adalah sesuatu yang boleh mengembalikan fokus audiens, terutamanya bila audiens sudah kelihatan mengantuk. Untuk menggunakan lawak jenaka, anda harus bercermat. Jangan buat lawak tak kena tempat. Apatah lagi melanggar sensitiviti peribadi atau pegangan seseorang. Ingat, terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata anda binasa.

9. Kenal pasti audiens

Menilai audiens adalah penting kerana mereka adalah sasaran anda. Seperti juga anda hendak pergi menembak, anda harus tahu sasaran agar tembakan anda tidak tersasar. Jika audiens anda semuanya terdiri daripada ahli akademik yang pakar dalam bidang anda. Maka anda gunakanlah bahasa yang tinggi, gunakan konsep-konsep yang menunjukkan anda benar-benar mendalami skop anda. Namun, jika anda berhadapan dengan rakan-rakan anda sendiri, anda harus banyak menggunakan analogi dan bahasa yang setanding dengan kemampuan dan kefahaman mereka.

Nada suara juga harus dijaga, anda mungkin boleh menggunakan suara yang tinggi apabila berhadapan dengan murid-murid sekolah. Tetapi apabila bercakap di hadapan orang-orang berpangkat besar seperti Naib Canselor(sekadar contoh), anda perlu menunjukkan kesantunan dan kematangan berbahasa sesuai dengan kedudukan audiens anda.

10. Senyum

Maniskan senyuman dari awal langkah anda memulakan perbentangan sampailah tamat. Senyum itu menunjukkan ketenangan anda. Walaupun anda akan diusik dengan pertanyaan balas atau kritikan. Balaslah kritikan itu dengan memulakannya dengan senyuman. Itu akan menjadikan audiens anda berasa anda sudahpun bersedia menjawab segala kritikan dan pertanyaan. Ingat, senyum sahaja, jangan pula anda ketawa. Kerana jika anda ketawa audiens akan anggap anda memperlekehkan pertanyaan dan kritikan mereka.

Repost from: https://www.thepatriots.asia/archives/2951

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Pages